JANUARI 2023

KKR Sambut Baik Pengumuman PM Tadbir Urus Projek Infra Sabah Sarawak


KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan JKR Sabah sebagai Jabatan Teknik Kerajaan. 

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan pengiktirafan ini JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

“Keputusan ini akan melibatkan pindaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP 182) yang menetapkan sebelum ini bahawa semua Jabatan Bukan Teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik yang diiktiraf sahaja iaitu JKR Malaysia dan JPS Malaysia bagi melaksanakan semua projek kerajaan. (perkara 182.1).

“Di samping itu KKR juga berpandangan supaya satu garis panduan perlu dibincang dan disediakan bersama Agensi Pusat bagi menentukan perincian berhubung agihan bidang kuasa, peranan dan tanggungjawab pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek kedua-dua negeri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Tambahnya, mengenai status pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, KKR ingin memaklumkan bahawa sehingga kini pelaksanaan fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dan Sabah masing-masing telah mencapai kemajuan fizikal 91 peratus dan 73 peratus. 

“Keseluruhan fasa 1 LPB Sarawak dijangka siap pada akhir tahun ini (2023) kecuali bagi pakej 11 (Lambir dan Beluru) yang dijangka akan siap pada tahun 2024 berikutan terdapat perubahan skop projek.

“Untuk fasa 1 LPB Sabah pula ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2025.

“Manakala fasa ke-2 LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran Miri-Limbang-Lawas (Lebuhraya Transborneo), fasa ke-2 projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) ; dan fasa 1B bagi projek LBU Sabah keseluruhan melibatkan anggaran kos projek sebanyak RM26.2 bilion,” ujarnya lagi. 

Sehubungan itu katanya, semua projek baharu berkenaan telah memperoleh kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri pada bulan April 2022. 

Selain itu, pembinaan fizikal dijangka akan bermula pada tahun 2024 iaitu sebaik sahaja bajet 2023 diluluskan Parlimen dan pengesahan kelulusan peruntukan diterima dari agensi pusat.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS